Sunday, October 10, 2010

Wang Hantaran Dr Sheikh Muszaphar- Dr Halina Dirahsiakan!


Media Galeri

Teks oleh Razif Rosdi

PUTRAJAYA, 10 OKT 2010: Dengan sekali lafaz saja, angkasawan negara Dato' Dr Sheikh Muszaphar Shukor sah menjadi suami kepada Dr Halina Mohd Yunos.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu LT Kol (B) Mohd Yunus Mohd Ali pada jam 11.40 pagi dihadapan Ketua Pendaftar Perkahwinan Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Dato' Hj Che Mat Che Ali.Majlis pernikahan ini telah diadakan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.
Pihak pengantin lelaki telah memberikan 9 dulang hantaran berbalas 11 dulang daripada pihak perempuan. Halina turut menerima mas kahwin berjumlah RM80 tunai. Antara barangan hantaran yang dibalas pihak perempuan ialah sebentuk cincin, tepak sirih, sejadah, baju melayu, minyak wangi, kain songket, jam tangan, coklat dan kek.
Manakala pengantin lelaki telah memberikan baju kurung, telekung, cincin, minyak wangi, jam tangan, rantai dan beg tangan.
Ditanya kepada ayahnda Halina tentang jumlah wang hantaran yang diberikan pihak lelaki, Yunus hanya tersenyum dan menyifatkan ia sebagai satu rahsia.
"Jumlah wang hantaran, biarlah pihak keluarga saja yang tahu. Sebagai bapa, kalau ditanya tentang perasaan, sudah tentu saya punya rasa sama seperti bapa-bapa yang lain yang menerima menantu. Saya berharap sangat kedua mereka sedar bahawa mereka bukan lagi seperti dulu.
"Mereka sudah berkahwin dan ada tanggungjawab masing-masing. Mereka perlu ada pegangan hidup yang berpaksi kepada Allah SWT. Walau macam mana sekalipun kehidupan di dunia, mereka perlu seimbangkannya dengan mempertahankan agama barulah tidak terjadi cerai-berai yang semakin berleluasa," katanya.
Apapun, Sheikh Muszaphar yang tidak lekang dari senyuman berkata masih belum ada perancangan untuk berbulan madu. Pun begitu, dia menyatakan bahawa bakal mengerjakan haji dalam masa terdekat ini bersama isterinya.
"Kalau ditanya pada saya soal anak, sudah tentu saya nak anak ramai. Kalau boleh saya nak 10 orang anak. Sebab itulah juga saya pilih tarikh 10.10.10. Apapun, Halina mempunyai ciri-ciri wanita yang ada disebut dalam Islam untuk dipilih sebagai isteri," ujar Sheikh Muszaphar.
Setia disisi suaminya, Halina mengakui suaminya itu tidak pernah berubah dan sama seperti 8 tahun lalu di mana mereka mula berkenalan.
"Syukur, semuanya selamat . Suami saya tak pernah berubah walaupun dia sudah menjadi angkasawan dan popular di mata masyarakat. Saya sudah bersedia menjadi isterinya selepas 8 tahun bercinta," katanya.
Majlis pernikahan itu tadi turut meriah apabila 80 angkasawan dari seluruh dunia mewakil 20 buah negara datang menyaksikan sendiri bagaimana akad nikah dijalankan. Antara 80 angkasawan tersebut termasuklah angkasawan wanita pertama dunia dan angkasawan pertama beragama Islam. Masjid turut sesak dengan dibanjiri hampir 5,000 rakyat tempatan yang mahu menyaksikan sendiri perkahwinan bersejarah ini.
Apa yang pasti, perkahwinan terhebat ini akan diteruskan dengan majlis persandingan yang akan diadakan pada malam ini di dewan perdana, Putrajaya International Convention Centre (PICC). Majlis persandingan ini akan disiarkan siaran langsung di TV3 bermula jam 9 malam.
"Setiap angkasawan yang hadir akan diberikan baju melayu dan kurung untuk mereka menyelami adat tradisional melayu. Manakala setiap konsep dan hidangan akan membuatkan hadirin seperti berada di kapal angkasa," kata Sheikh Muszaphar yang tidak jemu melayan dan bergambar bersama peminat yang hadir.

No comments:

Post a Comment