Sunday, October 10, 2010

Wan Chik: Zikir Pengubat Rindu Kepada Arwah


KL, 8 OKT 2010: Seminggu selepas kita menyambut lebaran yang lalu, kita telah dikejutkan dengan pemergian pelakon dan pelawak veteran, M Rajoli yang kembali ke rahmatullah pada 17 September 2010, yakni hari ke 8 kita menyambut Aidilfitri.
Meminjam kata-kata pengarah, Rashid Sibir: "Pemergiannya sangat dirasai tambahan pula selepas ini tiada siapa yang dapat menggantikan arwah. Hanya dia sahaja yang dapat membawakan watak orang yang warak atau seorang yang kuat pegangan agamanya". Benar, satu pemergian yang sangat dirasai bagi mereka yang mengenali Allahyarham. Tambah-tambah lagi jika individu tersebut adalah isterinya sendiri, Wan Chik Daud.
Sempena hari ke-20 pemergian arwah hari semalam, portal Murai cuba menghubungi sendiri bekas penyampai berita RTM era 80-an ini untuk bertanyakan khabar. "Hanya zikir dan ibadat sahaja dapat mengubati rindu saya kepada arwah sekarang", kata Wan Chik, 70.
"Sepanjang 24 tahun perkahwinan saya dengan arwah, dia banyak mengajar saya tentang selok belok agama, dia sentiasa mengingatkan saya untuk mentaati perintah Allah S.W.T dan jalankan segala tanggungjawab sebagai seorang muslim yang sejati."
"Saya terima hakikat bahawa arwah sudah pergi tidak kembali, dan menjadi tanggungjawab kita yang masih hidup ini untuk mendoakan kesejahteraan arwah di sana selain beribadat dan membekalkan diri kita dengan segala yang perlu kerana selepas ini kita pula akan dipanggil mengadapNya."
"Arwah seorang suami yang baik, sentiasa berpesan kepada saya agar selalu tunaikan solat sunat, lengkapkan ilmu agama sebagai bekalan di akhirat. Sewaktu hidup dia pun, dia sendiri tidak pernah lekang dengan sejadah. Alhamdulillah doa saya ketika menunaikan umrah pada tahun 1984 (mereka berkahwin pada 1986) dulu agar bertemu dengan suami yang sentiasa lekat dengan sejadah diperkenankan Allah. Dia terlalu baik dan sentiasa membimbing saya, jadi untuk membalas segala kebaikan beliau, hanya doa dan ibadah seorang isteri saja dapat saya hadiahkan padanya Kerana segala ilmu dan pesanan yang ditinggalkan arwah, selagi kita mengamalkannya, segala pahala di atas amalan tersebut akan terus sampai padanya.
"Insya Allah, setelah tamat idah selama 4 bulan 10 hari ini, saya akan ke Mekah bersama anak-anak dan ahli keluarga lain untuk menunaikan umrah untuk arwah. Kemungkinan tarikhnya adalah penghujung Januari nanti. Dan dengan izin Allah, raya Aidiladha nanti saya nak buat korban untuk arwah', tambah Wan Chik lagi.
"Pesanan terakhir arwah sebelum beliau pergi adalah supaya saya menunaikan Solat Sunat Hadiah pada malam beliau telah dikebumikan, sebab katanya, malam pertama selepas dikebumikan itu adalah sangat getir sekali, jadi solat sunat hadiah ini akan dilakukan oleh kaum keluarga supaya dilapangkan dan memberi ketenangan kepada arwah didalam kubur. Dia juga pesan supaya sentiasa melakukan solat witir dan solat tengah malam, katanya bila bangun tengah malam jangan nak kencing je, solat sunat kalau boleh sekali," tambah Wan Chik sambil ketawa teringat jenaka arwah semasa hidupnya.
Ketika ditanya tentang perangai arwah semasa hidup, Wan Chik menjelaskan: "Saya mula-mula jumpa arwah adalah di Pejabat UMNO lama Jalan TAR, 50 tahun dulu. Waktu itu saya berumur 19 dan arwah 14. Kami bertemu jodoh pada 1986. Arwah semasa hidup seorang yang suka berjenaka dan sentiasa ceria. Dia gemar mengaji dan rajin bersolat. Antara kenangan manis saya dan arwah pula ialah dia sering merakam lagu untuk saya. Pernah satu hari kami bermusafir sekejap ke negeri pantai timur, dia mengajak saya solat di atas batu, kemudian kalau kereta Satria GTi nya tu, dia telah keluarkan temapt duduk di bahagian sebelah kiri pemandu, katanya supaya senang untuk dia bersolat kalau ada pengambaran di tempat sukar, contohnya dalam hutan. Arwah juga rajin berpuasa selama 3 bulan iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan ketika beliau sihat dulu".
"Arwah bukanlah mempunyai pelajaran yang bagus, tapi saya panggil dia jutawan akhirat sebab ilmu agamanya. Meskipun begitu, arwah berjaya membesarkan anak-anaknya dengan baik sehingga semua berjaya. Malah anaknya yang bongsu sekarang dah jadi Tahifz, malah anak bongsunya itulah yang memandikan jenazah arwah, malah membacakan talkin sewaktu arwah dikebumikan. Alhamdulillah impian arwah untuk melihat salah seorang anaknya mengikuti jejak beliau tercapai. Jadi siapa kata yang duit dari lakonan tak berkat? Tidak, duit yang kita dapat selagi kita melakukan tugas yang halal dan nawaitu yang baik, akan sentiasa mendapat keberkatan Allah.
"Bukan nak memuji atau membanggakan suami sendiri, tapi hakikat kenapa kita lihat arwah sering membawakan watak orang yang alim dan kuat pegangan agama itu adalah sebab dia sendiri memang begitu, watak itu adalah watak sebenar dia. Lagi satu dia memang selalu ikut sunnah nabi, kalau sesiapa yang perasan, sewaktu berlkaon kalau dia tak pakai serban, mesti kita nampak dia pakai topi, key, atau apa-apa yang menutup kepala.
"Saya bersyukur sebab arwah pergi dalam keadaan baik, dia telah capai semuanya cuma saya rasakan dia agak terkilan kerana tak dapat melihat kedua-dua isterinya dalam keadaan baik. Saya sendiri tidak tahu puncanya dan bukan hak saya untuk mengulas lanjut, Cuma saya terangkan di sini, sebelum arwah pergi, saya sudah tidak jumpanya hampir setahun setengah. Juga kalau boleh saya minta hentikanlah tohmahan terhadap saya di internet itu. Walaupun saya ni buta IT, tapi saya tahu ada segolongan pihak di internet yang sering melemparkan tuduhan bukan-bukan. Kalau boleh yang lepas tu lepaslah, arwah sudah pergi dan yang lepas itu lepaslah. Saya sekarang hanya ingin memfokuskan kepada ilmu dan bekalan akhirat saya saja." tambah Wan Chik mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment